.

.

Sunday, 3 November 2013

Lelaki Paling Tinggi Di Dunia Temui Cintanya - Sultan Kosen

Sultan Kosen yang berasal dari Turki digambarkan sebagai telah ‘melenyapkan’ Tower Bridge ketika dia bergambar di tebing Sungai Thames dalam lawatan pertamanya ke luar negara itu.

Kosen, 30, berkata: “Sungguh sukar untuk mencari teman wanita. Mereka selalunya takut dengan saya. Harap-harap setelah menjadi terkenal, saya berpeluang bertemu dengan ramai wanita. Impian saya ialah ingin berkahwin.”

Kosen diiktiraf sebagai lelaki paling tinggi di dunia oleh Guinness World Records (GWR) empat tahun lalu.
Dalam tempoh dua tahun selepas itu, kehidupan Kosen benar-benar berubah. Dia diberikan kemudahan pembedahan percuma seumur hidup bagi menghentikan tumbesarannya.
Pakaian dan kasutnya juga dijahit khas, malah dia berpeluang melancong mengelilingi dunia.

Dia mengambil alih gelaran itu daripada lelaki tertinggi di China, Bao Xishun yang mempunyai ketinggian hanya 2.36m.

Kosen turut memiliki tangan dan kaki terpanjang masing-masing, berukuran 27.5 sentimeter (sm) dan 36.5sm. Tangan gergasinya itu membuatkan mereka yang bersalaman dengannya berasa kerdil.

Pada hari Sabtu lalu, impian Kosen termakbul. Dia mengahwini Merve Dibo, 20, gadis Syria yang hampir satu meter lebih rendah daripadanya. Dibo memiliki ketinggian manusia normal iaitu 1.8m.

Kosen bertemu Dibo menerusi perkenalan kawan atas kawan. Malah, Dibo sanggup datang dari rumahnya di Hasaki, Syria untuk bertemu Kosen di kampung lelaki itu di Dede Koy, Turki.

Mereka hanya keluar bertemu janji dua bulan lalu tetapi berkata, masing-masing segera memutuskan untuk hidup bersama.

Kosen memberitahu: “Saya lihat jauh ke dalam matanya dan saya tahu ia pandangan cinta.”
Dibo pula berkata: “Pada mulanya semua orang menasihati saya supaya jangan berkahwin dengan Kosen kerana ketinggiannya.

“Sungguh, saya jatuh cinta kerana hatinya, bukan sebab fizikalnya. Saya tidak kisah langsung dengan ketinggiannya.”

Pasangan beragama Islam ini merancang untuk memperoleh dua orang anak.
Sukar

Kosen merupakan seorang daripada kira-kira 10 individu di dunia yang mencapai ketinggian 2.4m selepas dia mengalami penyakit yang jarang dialami yang dipanggil pituitari gigantism. Kosen disenaraikan GWR sebagai lelaki paling tinggi di dunia pada tahun 2011.

Namun, ketinggian Kosen terhenti selepas dia mendapat rawatan di sebuah hospital di Pusat Perubatan Universiti Virginia, Amerika Syarikat pada Mei 2010.

Dia tidak mampu untuk menghabiskan persekolahannya disebabkan ketinggian luar biasanya itu, namun sekali-sekala Kosen bekerja sebagai tukang kebun untuk menyara keluarga.

Seluruh keluarga, termasuk ibu dan ayahnya, semua bersaiz normal, namun tumbesarannya mula meningkat ketika berumur 10 tahun akibat tumor yang mengeluarkan hormon ketinggian berlebihan daripada kelenjar pituitarinya.

Dia menggambarkan, salah satu kelebihan memiliki ketinggian ialah dapat membantu ibunya melakukan kerja seperti menukar mentol lampu dan menggantung langsir.

Dari segi kelemahannya pula, dia sukar mencari pakaian atau kasut yang sesuai serta saiznya itu menyebabkan dia amat sukar untuk dimuatkan ke dalam sebuah kereta bersaiz biasa.

Menjadi lelaki gergasi tidak semestinya mudah. Yang paling sukar mungkin untuk mencari jodoh. Perkara yang sama dialami Bao Xishun, kini berusia 62 tahun.

Penggembala kambing dari kawasan pedalaman Mongolia itu pernah membeli iklan mencari jodoh yang disiarkan di seluruh negara. Mujurlah pada tahun 2007, penantiannya itu berakhir.

Xishun yang mendapat liputan meluas selepas dia berjaya menyelamatkan dua ekor ikan lumba-lumba dengan menarik keluar plastik dari perut haiwan itu menggunakan tangannya yang panjang pada Disember 2006, bertemu jodoh dengan seorang wanita yang memiliki ketinggian normal iaitu Xia Shujian.

Jurujual berusia 34 tahun itu memiliki ketinggian 1.68m iaitu rendah hampir satu pertiga daripada Xishun.

“Selepas pencarian yang panjang dan penuh berhati-hati, usaha itu akhirnya berhasil,” lapor Beijing News.
Setahun kemudian iaitu pada usia 56 tahun, Xishun bergelar bapa.

Xishun pernah melepaskan gelaran sebagai lelaki tertinggi GWR kepada lelaki Ukraine, Leonid Stadnyk tetapi mendapatnya semula apabila Stadnyk enggan diukur mengikut garis panduan baharu.

Tidak seperti Kosen dan Xishun yang bersungguh-sungguh mencari pasangan hidup, Stadnyk dengan ketinggian 2.59 meter bersikap sebaliknya.

Dia bukan sahaja enggan mencari cinta, malah tidak mahu fizikalnya diukur secara rasmi oleh GWR kerana dia bencikan ketinggiannya dan tidak mahu menjadi terkenal.

Dia yang tinggal di Podoliantsi, sebuah perkampungan kecil di Ukraine, menggelar ketinggiannya sebagai ‘hukuman tuhan yang paling besar ke atas saya’ dan dia sama sekali enggan melihat dirinya di hadapan cermin.

AP

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...