HONG KONG - Jualan ular sebagai haiwan peliharaan di pulau ini
melambung ketika orang ramai sibuk melakukan persiapan menyambut Tahun
Baru Cina semalam.
Tahun Baru Cina kali ini jatuh pada tahun ular menurut kalendar masyarakat Tionghua.
Ular menjadi binatang pilihan dalam kalangan penduduk kota raya ini
ekoran haiwan itu mudah dijaga dan tidak memerlukan ruang yang banyak.
Di kedai Reptile Paradise yang menjual ular, cicak, kura-kura dan
pelbagai reptilia lain di sini, berpuluh-puluh anak ular berusia
beberapa minggu bertukar tangan.
"Kami melihat peningkatan jualan ular antara 20 hingga 25 peratus
pada bulan ini berbanding tempoh sama tahun lalu," kata pengarah kedai
berkenaan, Vincent Cheung.
Menurutnya, dia menjual antara 100 hingga 150 ekor ular sejak tiga
bulan lalu dengan peningkatan serupa berlaku pada 2001 yang juga jatuh
pada tahun ular.
"Apabila Tahun Ular tiba, orang ramai akan membeli ular. Menjaga ular
adalah mudah dan ringkas berbanding reptilia lain," tambahnya.
Kebanyakan penduduk di sini gemar memelihara ular jagung Amerika
Utara dan ular susu yang boleh membesar sepanjang sekitar 1 meter.
Walaupun ular merupakan simbol kebijaksanaan dan kegembiraan dalam
masyarakat Cina, haiwan itu juga dikaitkan dengan tragedi. Sebahagian
orang Cina percaya sesebuah keluarga akan ditimpa bencana jika rumah
mereka dimasuki ular.
Dalam aspek makanan, ular merupakan makanan eksotik yang digemari
penduduk selatan China. Daging ular dipercayai dapat melancarkan
perjalanan darah dan mengelakkan penyakit pada musim sejuk. - AFP
# Bang aku ra, dih yan mag baya minsan hambouk Has. Ginisan na in dunya bihayaun ini.